Sediakan Payung Sebelum Hujan

Maksud : Sentiasa bersiap sedia sebelum terjadi sesuatu yang kurang baik. Ayat Contoh : Pak Duan mengingatkan anak-anaknya agar bersedia dengan ilmu agama dan pengetahuan dunia bagi menghadapi kehidupan alaf baru yang ternyata mencabar. Katanya sediakan payung sebelum hujan.

Sedikit Kerja Banyak Berantun

Maksud : Perihal kemalasan seseorang atau orang yang malas. Ayat Contoh : “Kalau sedikit kerja banyak berantun seperti itu bagaimana syarikat ini akan maju?” kata pengurus kepada kakitangannya.

Seekor Ayam Tak Berkokok Hari Tak Siangkah?

Maksud : Sesuatu kerja itu akan diteruskan walaupun ada seseorang yang tidak menyukainya. Ayat Contoh : “Walaupun kamu tidak bersetuju dengan cadangan ini, pembinaannya tetap diteruskan oleh kerajaan kerana seekor ayam tak berkokok hari tak siangkah?” kata Tuk Penghulu.

Seekor Cacing Menelan Naga

Maksud : Orang yang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah. Ayat Contoh : Tentulah sukar bagi kuasa besar seperti Amerika Syarikat untuk menerima kekalahannya di tangan tentera komunis di Vietnam. Walau bagaimanapun, seekor cacing menelan naga telah menjadi kenyataan.

Seekor Kerbau Membawa Lumpur, Semuanya Habis Terpalit

Maksud : Seorang yang membuat salah semuanya mendapat nama buruk. Ayat Contoh : Segelintir pendatang asing telah didapati melakukan jenayah tetapi masyarakat tempatan merasakan bahawa semua pendatang asing itu sama. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya habis terpalit.

Segan Bergalah (Berkayuh) Hanyut Serantau

Maksud : Kalau malas berusaha tentu mengalami kerugian yang besar dalam hidup dan bencanalah akibatnya. Ayat Contoh : Segan bergalah hanyut serantau terjadi kepada Mazlan yang malas bekerja ketika mempunyai pekerjaan, kini dia dipecat dan hidup melarat.

Segan Bertanya Sesat Jalan

Maksud : Kalau tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan. Ayat Contoh : “Jika tidak faham akan sesuatu, jangan malu bertanya, nanti kamu juga yang susah. Kata orang segan bertanya sesat jalan,” kata ayah kepada Azlan.

Segar Dipakai Layu Dibuang

Maksud : Selagi perempuan itu muda dan cantik dia disayangi tetapi setelah tua dia ditinggalkan. Ayat Contoh : Suryati sedar bahawa pekerjaannya sebagai model di syarikat itu hanya sementara badannya masih segar dan wajahnya masih cantik, tetapi apabila sudah tua dia tidak diperlukan di syarikat itu lagi. Bak kata orang, segar dipakai layu dibuang.