Segenggam Digunungkan, Setitik Dilautkan

Maksud : Menjadikan sesuatu itu bertambah berganda-ganda. Ayat Contoh : Mujabir menjual tanahnya yang sekangkang kera itu lalu dijadikan modal perniagaan dan kini hartanya telah bertambah berlipat kali ganda. Begitulah kalau segenggam digunungkan, setitik dilautkan.

Sehari Selembar Benang, Lama-Lama Jadi Kain

Maksud : Usaha yang sedikit demi sedikit lama-lama akan berhasil juga. Ayat Contoh : Pak Muhayat membina rumah besar itu seorang diri tetapi berkat ketekunan dia berjaya menyiapkannya dengan sempurna. Itulah yang dikatakan sehari selembar benang, lama-lama jadi kain.

Sehembus Naik, Sehembus Turun

Maksud : Sudah satu-satu nafasnya. Ayat Contoh : Wak Jemin yang terbaring kaku dengan nafas sehembus naik, sehembus turun itu dikelilingi oleh anak dan cucunya sambil membaca surah Yasin.

Sejernih-Jernih Air, Kalau Melalui Pembuluh Yang Kotor, Akan Kotor Juga

Maksud : Sebaik-baik usaha kalau dikerjakan dengan hati yang tidak ikhlas tentu akan kerugian. Ayat Contoh : Konsert yang diadakan itu bertujuan untuk memungut derma bagi mangsa peperangan di Balkan tetapi dipenuhi dengan persembahan artis separuh bogel yang beraksi lucah menyebabkan konsert itu dikritik hebat. Kata orang, sejernih-jernih air, kalau melalui pembuluh yang kotor, akan … Read more

Sekali Air Bah, Sekali Pasir Berubah

Maksud : Apabila berlaku peristiwa besar akan berubahlah sesuatu keadaan. Ayat Contoh : Setelah Encik Mahmud mengambil alih syarikat itu, semua ahli lembaga pengarahnya telah berubah seperti sekali air bah, sekali pasir berubah.

Sekali Bekas Kena, Dua Kali Bekas Tahu, Tiga Kali Baru Jera

Maksud : Sekali terkena tipu, dua kali sudah tahu, dan selepas itu tidak mungkin tertipu lagi. Ayat Contoh : Sejak Mak Senah tertipu oleh seorang jurujual barangan elektrik yang datang ke rumahnya, dia tidak lagi membenarkan mana-mana jurujual masuk ke rumahnya. Baginya sekali bekas kena, dua kali bekas tahu, tiga kali baru jera.

Sekali Dipatuk Ular, Tali Pun Ditakutkannya Juga

Maksud : Orang yang telah menderita kesusahan, maka dia akan berhati-hati dalam semua gerak-gerinya. Ayat Contoh : Rakyat golongan minoriti di negara itu telah lama ditindas oleh pemerintah. Walaupun kini pemerintah telah bertukar namun mereka tidak mahu memberi kepercayaan kerana menganggap pemerintah sekarang sama dengan pemerintah dulu, sekali dipatuk ular, tali pun ditakutkannya juga.

Sekatalah Jengkal Dengan Jari

Maksud : Bersesuaian antara pekerjaan dengan orang yang membuatnya. Ayat Contoh : Saya tahu bahawa Zubaidahlah yang membuat hiasan di dalam rumah ini kerana hiasannya kemas dan menarik, sekatalah jengkal dengan jari.