Seperti Menanti Orang Dahulu, Mengejar Orang Kemudian

Maksud : Perbuatan yang sia-sia. Ayat Contoh : Ketika muzik rock sedang memuncak, Awiey menerbitkan lagu-lagu berentak irama asli, ketika nasyid digemari ramai dia menerbitkan lagu rock pula. Dia seperti menanti orang dahulu, mengejar orang kemudian menyebabkan lagu-lagu terbitannya tidak pernah mendapat sambutan di pasaran.

Seperti Mendapat Gagak Putih

Maksud : Perolehan yang bertuah dan jarang diperoleh orang. Ayat Contoh : Hanum seperti mendapat gagak putih apabila diisytiharkan sebagai pengunjung ke sejuta di pasar raya yang baru dibuka itu dan dihadiahkan sebuah kereta.

Seperti Mengerat Dengan Gunting Galir

Maksud : Orang yang malas dan bodoh tidak akan sempurna pekerjaannya. Ayat Contoh : Zubir diminta supaya menjemput semua orang kampung ke majlis doa selamat di rumah Haji Aiman. Walau bagaimanapun, dia yang malas dan bodoh itu menjemput penduduk kampung yang ditemuinya di kedai kopi sahaja. Kerja yang dibuatnya seperti mengerat dengan gunting galir.

Seperti Mengilang Manau

Maksud : Sesuatu masalah yang sangat sukar. Ayat Contoh : Ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, tentera-tenteranya mengerah penduduk tempatan menebang pokok getah untuk ditanam dengan padi. Usaha itu tentulah seperti mengilang manau kerana padi tidak subur sekiranya ditanam di tempat yang kering.

Seperti Meniup Api Di Atas Air

Maksud : Melakukan perbuatan yang hampir tiada harapan akan berhasil. Ayat Contoh : “Dengan kelulusan yang tidak seberapa ini, usahlah kau bermimpi untuk menjadi juruterbang. Cita-cita engkau itu hanyalah seperti meniup api di atas air,” sindir Alias kepada Ahmad.

Seperti Mentimun Dengan Durian

Maksud : Orang lemah melawan orang yang kuat merupakan suatu perlawanan yang tidak sebanding. Ayat Contoh : Seluruh penduduk di kampung itu menasihati Izzudin agar tidak melawan penghulu kerana perbuatan itu hanya seperti mentimun dengan durian.

Seperti Menukul Paku Lemah

Maksud : Kepayahan mengajar orang yang malas. Ayat Contoh : Guru itu merungut-rungut kerana sikap sebilangan pelajarnya yang malas belajar. Usaha mengajar mereka seperti menukul paku lemah.

Seperti Minyak Dengan Air

Maksud : Sesuatu yang mustahil untuk disatukan. Ayat Contoh : Sebagai seorang yang berpelajaran kita hendaklah tahu untuk membezakan antara ibadat dengan maksiat kerana kedua-duanya seperti minyak dengan air.