Seperti Api Dalam Sekam

Maksud : Sesuatu yang berlaku dalam diam-diam atau tanpa disedari. Ayat Contoh : Dollah bertindak seperti api dalam sekam untuk mempengaruhi ahli-ahli koperasi itu agar memilihnya sebagai pengerusi bagi mengalahkan pengerusi yang sedia ada.

Seperti Aur Dengan Tebing

Maksud : Dua orang yang berkawan rapat dan saling membantu. Ayat Contoh : Meskipun berlainan bangsa dan agama namun Nadhir dan Aang dapat berkawan rapat dan saling membantu seperti aur dengan tebing.

Seperti Aur Ditarik Songsang

Maksud : Pekerjaan atau perkara yang sangat sukar diselesaikan kerana salah jalan. Ayat Contoh : Usaha orang tengah untuk mendamaikan dua golongan yang telah berperang itu seperti aur ditarik songsang kerana syarat perundingan yang dicadangkan tidak dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang bertelagah itu.

Seperti Ayam Berak Kapur

Maksud : Rupa yang pucat kerana menghidap sesuatu penyakit. Ayat Contoh : Fahimi kelihatan seperti ayam berak kapur setelah berbulan-bulan menghidap penyakit misteri dan doktor pun tidak mampu mengesan punca penyakit tersebut.

Seperti Ayam Bertelur Di Atas Padi

Maksud : Orang yang senang hidupnya, tidak khuatir akan apa-apa. Ayat Contoh : Anak-anak zaman sekarang seperti ayam bertelur di atas padi kerana sejak dilahirkan, segala kemudahan telah tersedia di hadapan mata.

Seperti Ayam Dimakan Tungau

Maksud : Sangat pucat kerana sakit. Ayat Contoh : Zahurul seperti tidak percaya apabila melihat sahabatnya yang pernah menjadi ahli bina badan itu kini seperti ayam dimakan tungau kerana terkena sindrom parkinson.

Seperti Ayam Dara Bertelur

Maksud : Mengerjakan sesuatu pekerjaan dengan bertangguh. Ayat Contoh : Sabariah telah beberapa kali menangguhkan pembinaan rumahnya seperti ayam dara bertelur kerana wang tidak mencukupi untuk membeli bahan binaan.

Seperti Ayam Hendak Bertelur

Maksud : Orang yang berkeadaan resah gelisah atau tidak duduk diam. Ayat Contoh : Jimmy seperti ayam hendak bertelur semasa isterinya dibedah kerana tidak mampu melahirkan anak sulungnya secara normal.

Seperti Ayam Patuk Anaknya

Maksud : Menghukum anak bukan kerana menyeksa tetapi mendidik. Ayat Contoh : Ibu bapa yang merotan anak kerana enggan solat atau berbuat salah tidak boleh dianggap mendera kerana mereka berbuat demikian untuk mendidik, seperti ayam patuk anaknya.