Tangan Yang Menghayun Buaian Itu Boleh Menggegar Dunia

Maksud : Perempuan yang lemah lembut dan penyayang itu boleh memberi suatu kejutan yang luar biasa kepada masyarakat di dunia. Ayat Contoh : Qurazon Aquino hanyalah suri rumah tangga seperti wanita lain juga tetapi setelah suaminya dibunuh, dia telah bergiat aktif dalam politik dan akhirnya berjaya menumbangkan rejim Marcos serta menjadi Presiden Filipina, tangan yang … Read more

Tangisan Buaya

Maksud : Pura-pura menangis. Ayat Contoh : Meskipun bekas suaminya datang merayu-rayu dengan tangisan agar mereka rujuk semula, namun Shefura tahu itu hanyalah tangisan buaya kerana setelah bersatu kembali dia pasti akan ditipu dan disakiti semula.

Tarik Muka Dua Belas

Maksud : Muka orang yang selalu masam, kelihatan selalu kesal; kecewa. Ayat Contoh : Mek Salmi yang menjual periuk belanga di pasar itu sentiasa tarik muka dua belas tidak tentu pasal menyebabkan kawan-kawan dan pelanggannya menjauhkan diri.

Taruh Air Di Atas Daun Keladi

Maksud : Mempercayakan rahsia kepada orang bodoh dan pengecut. Ayat Contoh : Rahsia Tuk Dalang yang dikatakan hanya peluru perak sahaja yang dapat menembusi kekebalannya diketahui apabila budak suruhannya telah ditangkap dan diugut oleh pihak musuh. Begitulah kalau taruh air di atas daun keladi.

Taruh Beras Dalam Padi

Maksud : Nasihat supaya menyimpan rahsia baik-baik. Ayat Contoh : “Aku mahu kamu semua taruh beras dalam padi agar tiada orang-orang raja tahu akan tempat persembunyian kita ini,” kata ketua lanun itu.

Tatang Di Anak Lidah

Maksud : Terlalu kasih akan anak dan isterinya. Ayat Contoh : Walau ke mana-mana Ghazali pergi, nama isteri dan anak-anaknya sentiasa tatang di anak lidah kerana dia kasih akan mereka.

Tatkala Lagi Rebung Tiada Dipatah, Ketika Sudah Jadi Aur Apa Gunanya

Maksud : Mengajar seseorang itu hendaklah ketika ia masih muda, kalau sudah besar tidak akan berhasil lagi. Ayat Contoh : Ketika masih kanak-kanak, ibu bapanya tidak pernah menegur tingkah laku Zakuan yang nakal. Setelah meningkat remaja barulah hendak dimarahi tetapi tiada gunanya lagi kerana tatkala lagi rebung tiada dipatah, ketika sudah jadi aur apa gunanya.

Tebal Kulit Muka

Maksud : Menahan malu. Ayat Contoh : Senah terpaksa tebal kulit muka untuk berhutang beras di kedai itu kerana ketiadaan wang setelah suaminya sakit dan sudah lama tidak bekerja.