Selamanya Air Hilir, Selamanya Gagak Hitam

Maksud : Tetap serupa untuk selama-lamanya, tidak mungkin akan berubah. Ayat Contoh : Usaha engkau untuk mengubah sikap orang-orang yang kolot itu agar menerima kemajuan tidak akan berjaya kerana selamanya air hilir, selamanya gagak hitam.

Selangkah Berpantang Surut, Setapak Berpantang Mundur

Maksud : Sikap yang berani dan keras hati akan membuahkan kejayaan. Ayat Contoh : Setiap usaha yang dilakukan oleh Meng Yun jarang-jarang tidak berjaya kerana dia seorang yang tabah dan berani menghadapi sebarang halangan. Kata orang, selangkah berpantang surut, setapak berpantang mundur.

Selembap-Lembap Puntung Di Dapur, Ditiup Menyala Juga

Maksud : Sesuatu pekerjaan itu jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berhasil juga. Ayat Contoh : Dengan kesungguhan beberapa orang guru dari luar, akhirnya masyarakat pedalaman yang kolot itu mahu juga menerima kemajuan. Benarlah kata orang, selembap-lembap puntung di dapur, ditiup menyala juga.

Selompat Hidup Selompat Mati

Maksud : Perihal orang yang hampir maut, entah hidup atau mati. Ayat Contoh : Keadaan pesakit buah pinggang yang sedang dirawat di unit rawatan rapi itu umpama selompat hidup selompat mati.

Seluas Dada Tuma

Maksud : Terlalu sempit. Ayat Contoh : “Rumah yang seluas dada tuma ini tidak dapat menampung keluarga mak cik yang banyak ini,” kata Mak Cik Minah kepada pegawai itu.

Seludang Menolak Mayang

Maksud : Memegah-megahkan kelebihan yang ada pada diri. Ayat Contoh : Rossa begitu bangga mempunyai anak gadis yang cantik dan dia menggalakkan anaknya itu agar menjadi penyanyi dengan harapan namanya akan turut terkenal di samping nama anaknya itu. Dia dikatakan seludang menolak mayang.

Semahal-Mahal Gading Kalau Patah Tiada Berharga

Maksud : Berapapun tingginya darjat orang itu, sekali dia berbuat jahat akan turunlah darjatnya, tidak dipedulikan lagi. Ayat Contoh : Presiden yang digulingkan oleh rakyatnya kerana memerintah dengan zalim itu terpaksa hidup dalam buangan serta tidak dipedulikan oleh sesiapa pun lagi kerana semahal-mahal gading kalau patah tiada berharga.

Semak-Semak Disiangi, Rimbun-Rimbun Ditutuh

Maksud : Sesuatu benda hendaklah dijaga dan dipelihara dengan baik. Ayat Contoh : Raja itu berpesan kepada putera yang bakal menduduki takhta kerajaan agar menjaga negeri dan rakyat dengan baik seperti semak-semak disiangi, rimbun-rimbun ditutuh.