Seperti Kerbau Tersepit Leher, Dihela Tanduk Sudah Panjang, Dialukan Badan Sudah Besar

Maksud : Orang yang sukar hendak melepaskan dirinya setelah terdorong melakukan sesuatu kerja. Ayat Contoh : Ahli kongsi gelap itu berasa sukar untuk kembali ke pangkuan masyarakat kerana bimbang akan dibunuh oleh kawan-kawannya sendiri, kalau diteruskan mungkin ditangkap polis pula. Dia seperti kerbau tersepit leher, dihela tanduk sudah panjang, dialukan badan sudah besar.

Seperti Kersik Di Pulau

Maksud : Terlalu banyak. Ayat Contoh : Para pengunjung di pasar itu amat tertarik apabila melihat buah-buahan yang pelbagai jenis terjual dengan banyaknya seperti kersik di pulau.

Seperti Kesturi, Kerana Bau Hilang Nyawanya

Maksud : Orang yang suka menunjukkan sesuatu yang berharga yang ada padanya, akhirnya akan mendatangkan bencana kepada dirinya. Ayat Contoh : Perempuan yang suka menayangkan barang kemas pada badannya itu akhirnya disamun dan terbunuh kerana melawan perompak itu. Keadaannya seperti kesturi, kerana bau hilang nyawanya.

Seperti Kiambang Dilempar

Maksud : Bercerai sebentar dan berkumpul kembali. Ayat Contoh : Orang ramai yang sedang menanti ketibaan rombongan Perdana Menteri itu berkumpul di atas jalan, mereka hanya memberi laluan seketika apabila rombongan itu lalu dan kemudian bersesak-sesak semula seperti kiambang dilempar.

Seperti Kijang Lepas Ke Rimba

Maksud : Pulang ke tempat asalnya dan sukar dicari. Ayat Contoh : Tiga orang perampas kapal terbang yang dibebaskan bersama-sama tuntutan mereka menghilangkan diri seperti kijang lepas ke rimba.

Seperti Kucing Di Atas Tampuk

Maksud : Perihal orang yang mempunyai dua tugas dan tidak tahu akan tugas yang mana harus diberikan perhatian. Ayat Contoh : Kakitangan awam tidak dibenarkan menjalankan perniagaan sendiri kerana pihak kerajaan bimbang mereka akan menjadi seperti kucing di atas tampuk dan seterusnya mengabaikan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan.