Terang-Terang Daun Kacang

Maksud : Mulai mengerti sesuatu; pandangan yang luas dan merata. Ayat Contoh : Setelah tamat persekolahan dan mengenal alam pekerjaan, baharulah NIzam tahu betapa susahnya mencari wang bagi menampung kehidupan, terang-terang daun kacang.

Terang-Terang Kain

Maksud : Belum terang benar. Ayat Contoh : Ketika alam baru terang-terang kain, ayah dan emak sudah membawa cangkul dan raga bekalan ke perahu untuk ke kebun sayur mereka di Pulau Layu.

Terangguk-Angguk Seperti Rumput Di Pintu

Maksud : Kehidupan yang miskin dan menderita. Ayat Contoh : Khalib dan adik-adiknya terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya telah lama meninggal dunia dan ibunya yang sakit tidak mampu bekerja untuk mencari wang. Kehidupan mereka terangguk-angguk seperti rumput di pintu.

Terapung Tak Hanyut Terendam Tak Basah

Maksud : Tiada keputusan tentang sesuatu perkara (dalam perbincangan). Ayat Contoh : Walaupun mesyuarat jawatankuasa kampung itu sudah berlalu hampir dua jam, namun belum ada keputusan yang dapat diambil sama ada untuk mengindahkan balai raya atau membina taman permainan kanak-kanak, terapung tak hanyut, terendam tak basah.

Terbalik Kalang

Maksud : Pendapat yang berlawanan. Ayat Contoh : Yunus sentiasa terbalik kalang kerana sering bercanggah pendapat dengan orang lain tentang sesuatu perkara yang mahu diputuskan.

Terbang Bertumpu, Hinggap Mencengkam

Maksud : Jika merantau hendaklah mencari kaum keluarganya. Ayat Contoh : Masyitah memberitahuku bahawa saudara-maranya dari Indonesia akan datang ke rumahnya terlebih dahulu sebelum mencari pekerjaan di negara ini. Mereka terbang bertumpu, hinggap mencengkam.

Terbang Burung Berinsang Ikan

Maksud : Sesuatu pilihan yang sudah nyata, tidak perlu memilih lagi. Ayat Contoh : Azman yang sedang mengikuti kursus kejuruteraan automatif, sudah hampir pasti pekerjaannya nanti akan berkaitan dengan kereta dan motor kerana terbang burung berinsang ikan.

Terbuang Bunga Sekaki

Maksud : Kerana orang ramai, dipersia-siakan keluarga yang seorang. Ayat Contoh : Oleh sebab terlalu sibuk dengan hal-hal kebajikan masyarakat, Datin Azian terlupa untuk memberikan perhatian kepada anak tunggalnya. Kesibukan beliau menyebabkan terbuang bunga sekaki.